KPTM PENGANJUR KONVENSYEN KEPIMPINAN SISWA IPMA KALI KE-2

Ditulis oleh Super User on . Posted in Berita Kampus

PERAK, 14-15 Januari 2014 – Majlis Amanah Rakyat (MARA) dalam hasrat membentuk dan membangunkan model kepemimpinan dalam kalangan pelajar Institusi Pendidikan MARA (IPMa) serta mengukuhkan hubungan kerjasama dalam kalangan pemimpin pelajarnya sekali lagi telah menganjurkan Majlis Konvensyen Kepimpinan Siswa Institusi Pendidikan MARA (IPMa) Kali ke-2. Pada tahun 2014 ini, Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) telah diberi tangungjawab sepenuhnya untuk menganjurkan program ini.

Konvensyen Kepimpinan Siswa Institusi Pendidikan MARA (IPMa) merupakan program yang dicetuskan oleh Bahagian Pendidikan Tinggi MARA (BPT). Program ini menghimpunkan pemimpin pelajar terdiri daripada Ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dari seluruh IPMa merangkumi Kolej Poly-Tech MARA (KPTM), Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Kolej Profesional MARA (KPM), Kolej MARA, dan German Malaysian Institute (GMI).

Sejajar dengan aspirasi kerajaan dalam menjamin masa depan Negara untuk melahirkan modal insan yang berkualiti, langkah untuk membentuk dan membangunkan model kepemimpinan dari kalangan generasi muda haruslah bermula dari peringkat awal. Justeru mereka perlu dibimbing dengan menyuburkan nilai-nilai positif secara berterusan dan bersistem. Pembangunan pelajar haruslah dibina secara bersepadu dan holistik. Selain pembangunan akademik, intelektual dan penguasaan kemahiran (soft skills), aspek kepimpinan mestilah juga diberi penekanan untuk melihat potensi mahasiswa bagi menjana modal insan yang seimbang dan bersepadu. Konvensyen ini juga bertujuan bagi mengukuhkan hubungan kerjasama dalam kalangan pemimpin pelajar IPMa selaras dengan misi MARA, mengukuhkan ukhuwah dalam kalangan IPMa supaya dapat menyumbang kepada pembentukan organisasi yang lebih mantap dan berkesan serta untuk menyuburkan lagi semangat patriotism selaras dengan aspirasi Negara ke arah mencapai matlamat 1Malaysia.

Program yang berlangsung selama 3 hari bermula dari 14 hingga 16 Januari 2014 ini melibatkan kira-kira 350 orang peserta yang mewakili pelbagai Institusi Pendidikan MARA (IPMa) dari seluruh Negara. Majlis Perasmian Konvensyen ini disempurnakan oleh YBhg. Encik Nazir Hussin Bin Akhtar Hussin, Ahli Majlis MARA mewakili Y.B. Tan Sri Datuk Seri Panglima Annuar Haji MusaPengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA). Manakala Penutupan dirasmikan oleh YBhg Datuk Abd Rahim Bin Abd Ghani, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan MARA.

Antara aktiviti yang berlangsung sepanjang 3 hari Konvensyen ini diadakan ialah Mesyuarat Penyediaan Resolusi Konvensyen Majlis Perwakilan Pelajar IPMa, (melibatkan Presiden Majlis Perwakilan Pelajar Institusi Pendidikan MARA sahaja), pidato umum, bicara bersama siswa, bicara minda, forum mahasiswa, pembentangan resolusi konvensyen oleh wakil MPP IPMa dan penyerahan resolusi kepada Timbalan Ketua Pengarah (Pendidikan) MARA.

Disediakan oleh

Seksyen Komunikasi Korporat