37 PELAJAR DARJAH ENAM SERTAI KEM PERSEDIAAN MATEMATIK TINGKATAN SATU DI KPTM BANGI
37 PELAJAR DARJAH ENAM SERTAI KEM PERSEDIAAN MATEMATIK TINGKATAN SATU DI KPTM BANGI
BANGI, 20 Disember 2025 – Seramai 37 orang pelajar darjah enam (6) telah menyertai Program Khidmat Masyarakat bertajuk “Kem Cuti Sekolah, Matematik Tingkatan 1: Jom Bersedia Ke Sekolah Menengah!” yang dianjurkan oleh Jabatan Matematik dan Sains Komputer (JMSK), Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) Bangi, hari ini.
Program yang berlangsung dari 8.00 pagi hingga 4.00 petang itu bertujuan membantu pelajar membuat persediaan awal dalam subjek Matematik sebelum melangkah ke alam persekolahan menengah pada tahun 2026.
Para peserta didedahkan kepada asas serta pengukuhan konsep Matematik Tingkatan 1 melalui aktiviti pembelajaran interaktif dan latihan berfokus menggunakan modul khas yang dibangunkan oleh Pensyarah Matematik KPTM Bangi.
Pendekatan pengajaran yang santai tetapi berstruktur ini dilihat berupaya meningkatkan kefahaman, keyakinan diri serta minat pelajar terhadap subjek Matematik.
Selain membantu pelajar memahami asas Matematik dengan lebih awal, program ini turut memberi pendedahan kepada suasana pembelajaran di institusi pengajian tinggi, sekali gus menyediakan pelajar secara mental dan akademik sebelum memasuki sekolah menengah.
Di pihak penganjur, pelaksanaan program ini mencerminkan komitmen KPTM Bangi dalam melaksanakan aktiviti Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) serta mengukuhkan hubungan dengan komuniti setempat.
Program ini juga membuka ruang kepada pensyarah dan pelajar KPTM untuk terlibat secara langsung dalam aktiviti khidmat masyarakat.
Penganjur berharap program seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan bagi menyokong pembangunan pendidikan dan memberi impak positif kepada komuniti setempat.