
DIGITAL BANK DAN LALUAN KERJAYA PELAJAR
PROGRAM CERAMAH DIGITAL BANK BERSAMA SHARIAH DEPARTMENT AEON BANK
Pada 14 Ogos 2025, barisan pensyarah Diploma in Islamic Banking and Finance, Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) Bangi, telah berbesar hati menjemput wakil utama daripada Shariah Department AEON Bank, iaitu Al-Fadhil Ustaz Zainul Abidin Bin Hussin, bagi menyampaikan ceramah bertajuk Digital Bank.
Dalam perkongsian tersebut, Ustaz Zainul Abidin telah menghuraikan konsep Digital Bank yang merangkumi aspek konvensional serta patuh syariah. Berdasarkan pengalaman luas beliau dalam industri Perbankan Islam, perkongsian yang disampaikan bukan sahaja penuh dengan ilmu serta kefahaman yang mendalam, tetapi turut disertakan dengan nasihat dan panduan kerjaya kepada lebih 200 pelajar Semester 4 dan Semester 6 program Diploma in Islamic Banking and Finance.
Sambutan yang amat menggalakkan daripada para pelajar memberikan motivasi kepada barisan pensyarah dan kakitangan KPTM Bangi untuk terus komited dalam mendidik dan membimbing generasi muda ke arah kecemerlangan masa hadapan.
Majlis dimulakan dengan alunan Asmaul Husna dan diakhiri dengan sesi soal jawab bersama pelajar, disertai dengan penyampaian hadiah saguhati yang disumbangkan oleh AEON Bank, sekaligus menambah kemeriahan program pada hari tersebut.
Pihak penganjur merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Al-Fadhil Ustaz Zainul Abidin Bin Hussin atas kesudian beliau hadir dan berkongsi ilmu yang amat bermanfaat. Ucapan terima kasih juga ditujukan kepada para pelajar yang memberikan komitmen sepenuhnya dengan menghadiri program dari awal hingga akhir.