Hubungi Kami
+60 38925 8309

Pertanyaan Lanjut
kptmbangi@gapps.kptm.edu.my

KERJASAMA STRATEGIK : KPTM BANGI KUKUHKAN JALINAN BERSAMA SEKOLAH-SEKOLAH ANGKAT

KERJASAMA STRATEGIK : KPTM BANGI KUKUHKAN JALINAN BERSAMA SEKOLAH-SEKOLAH ANGKAT
 
26 Ogos 2025, Selasa – Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) Bangi telah menganjurkan Majlis Menandatangani Kerjasama Strategik bersama sekolah-sekolah angkat di Bangi Resort Hotel, hari ini.
 
Pada majlis ini juga, KPTM Bangi turut meraikan pencapaian cemerlang sekolah angkat serta memperluas jaringan kolaborasi baharu dengan beberapa institusi pendidikan.
 
Majlis ini didahului dengan ucapan aluan oleh Pengarah KPTM Bangi, Encik Ku Mohd Akhir Bin Ku Saad, yang menekankan bahawa kerjasama strategik ini bukan sekadar simbolik, tetapi komitmen bersama untuk menggalakkan lebih ramai pelajar sekolah angkat melanjutkan pengajian tinggi di KPTM.
 
Menurut beliau, pencapaian sekolah angkat sebelum ini membuktikan keberkesanan inisiatif, antaranya dengan peningkatan ketara bilangan pelajar dari SMK Saujana Utama yang meningkat daripada 16 orang pada 2020 kepada 41 orang pada tahun 2024.
 
Beliau turut berkongsi kejayaan KPTM Bangi dalam merekodkan kadar pengambilan pelajar baharu yang tinggi iaitu 112 peratus pada 2024 dan 96 peratus bagi ambilan Julai 2025.
 
Manakala kebolehpasaran graduan juga terus menunjukkan peningkatan daripada 80.7 peratus pada Julai 2024 kepada 86 peratus pada Julai 2025, yang menjadi satu petunjuk jelas bahawa graduan KPTM semakin diyakini industri.
 
Sementara itu, dalam ucapan perasmiannya, Ketua Pegawai Kewangan KPTM Sdn. Bhd., Puan Azlina binti Yusof, menegaskan bahawa pelaburan sebenar bukan hanya pada angka kewangan tetapi pada pembangunan modal insan.
 
Beliau turut memperincikan pelbagai program pengajian yang ditawarkan di KPTM Bangi termasuk perakaunan, pengurusan perniagaan, perbankan Islam, TESL, pengurusan sukan serta peringkat ijazah.
 
KPTM juga menyediakan pelbagai inisiatif untuk menyokong pelajar, antaranya insentif pelajar cemerlang, bantuan kewangan, biasiswa, serta diskaun yuran bagi ahli keluarga kedua dan seterusnya.
 
Menurut beliau, usaha ini adalah komitmen KPTM untuk melahirkan pelajar bukan sahaja cemerlang akademik tetapi juga berdaya saing, bersedia dengan kemahiran insaniah, dan yakin menghadapi cabaran dunia pekerjaan.
 
Majlis ini turut menyaksikan penyerahan simbolik ‘mock cheque’ kepada lapan (8) sekolah angkat sebagai tanda penghargaan atas kerjasama dan pencapaian mereka.
 
Dengan kerjasama strategik yang diperkukuh ini, KPTM Bangi yakin ia akan menjadi pemangkin kepada lebih banyak peluang pendidikan dan pencapaian cemerlang pada masa hadapan, seiring dengan aspirasi MARA dalam membangunkan modal insan berkualiti untuk negara.
 
Scroll to Top