
LAWATAN RASMI KPTM BANGI KE UPM BAGI MENINJAU SISTEM PENGURUSAN KAUNSELING BERASASKAN DIGITAL
LAWATAN RASMI KPTM BANGI KE UPM BAGI MENINJAU SISTEM PENGURUSAN KAUNSELING BERASASKAN DIGITAL
Serdang, 27 Mei 2025 – Seramai enam orang wakil dari Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) Bangi telah mengadakan lawatan rasmi ke Universiti Putra Malaysia (UPM) hari ini bertempat di Bangunan Kaunseling UPM. Lawatan ini bertujuan untuk meninjau secara lebih dekat sistem pengurusan kaunseling digital yang dilaksanakan oleh Bahagian Kaunseling UPM.
Sepanjang sesi lawatan, delegasi KPTM telah diberi taklimat dan penerangan terperinci berkaitan pelaksanaan sistem-sistem utama yang digunakan dalam pengurusan perkhidmatan kaunseling di UPM. Antara topik utama yang dibincangkan termasuklah sistem kaunseling atas talian melalui laman web rasmi, sistem pelaporan kes kaunseling, serta sistem pengurusan klien yang membantu dalam pemantauan dan rekod kes secara sistematik dan selamat.
Perbincangan dua hala ini turut menyentuh aspek keselamatan data klien, keberkesanan penggunaan teknologi dalam meningkatkan akses pelajar kepada perkhidmatan kaunseling serta strategi pengurusan kes berasaskan data dan analisis.
Lawatan ini memberi ruang kepada KPTM Bangi untuk memahami dan menilai potensi pelaksanaan sistem seumpama ini di institusi mereka, selaras dengan keperluan semasa dalam memperkasa kesejahteraan mental pelajar melalui pendekatan digital dan mesra pengguna.
Pihak Bahagian Kaunseling UPM mengalu-alukan kerjasama berterusan antara kedua-dua institusi dalam memperkukuh kualiti perkhidmatan kaunseling pendidikan tinggi di Malaysia.