THE ALL JAPAN ROBOT SUMO TOURNAMENT 2025

Alhamdulillah, Ahmad Hakimi Mahadi, pelajar daripada program Bachelor (Hons) in Accounting and Finance (BAAF) yang mewakili Malaysia dan Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) Bangi, telah selamat kembali ke tanah air selepas menyertai The All Japan Robot Sumo Tournament 2025 yang berlangsung di Jepun.

Penyertaan beliau dalam kejohanan berprestij bertaraf antarabangsa ini merupakan satu pencapaian yang amat membanggakan, bukan sahaja kepada diri beliau sendiri, malah kepada institusi dan negara. Kejohanan ini menghimpunkan 72 pasukan dari seluruh dunia, terdiri daripada peserta berpengalaman serta pasukan berteknologi tinggi dalam bidang robotik.

Melalui usaha gigih, komitmen tinggi serta semangat juang yang tidak mengenal putus asa, Ahmad Hakimi Mahadi telah berjaya mempamerkan keupayaan teknikal dan daya saing yang cemerlang. Hasil daripada penyertaan tersebut, beliau berjaya menduduki tangga ke-24 daripada 72 pasukan, sekali gus mengharumkan nama KPTM Bangi dan Malaysia di persada antarabangsa.

Kejayaan ini membuktikan bahawa pelajar KPTM Bangi mampu bersaing di peringkat global, seiring dengan perkembangan teknologi dan inovasi semasa. Ia juga menjadi inspirasi kepada pelajar lain untuk terus berusaha, berani mencabar diri dan mengharumkan nama institusi dalam pelbagai bidang, sama ada akademik mahupun kokurikulum.

Tahniah dan syabas diucapkan kepada Ahmad Hakimi Mahadi atas pencapaian yang membanggakan ini. Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin kepada lebih banyak pencapaian cemerlang pada masa hadapan serta menyemarakkan lagi budaya kecemerlangan dalam kalangan pelajar KPTM Bangi.

 
Scroll to Top