PENSYARAH KPTM BANGI TAMAT PROGRAM LATIHAN CROSS-BORDER E-COMMERCE DI NANJING, CHINA

NANJING, CHINA – Dua (2) orang pensyarah daripada Jabatan Pengurusan Perniagaan, KPTM Bangi berjaya menamatkan Program Latihan Cross-Border E-Commerce selama 10 hari di Nanjing, China, sekali gus memperoleh pendedahan antarabangsa dalam perkembangan e-dagang, teknologi dan inovasi logistik.

Sepanjang program berlangsung, para peserta mengikuti pelbagai modul serta aktiviti berasaskan industri yang memberi pendedahan secara langsung mengenai e-dagang rentas sempadan, teknologi automasi dan perkembangan sistem logistik moden.

Antara pengisian utama program ialah latihan simulasi operasi e-dagang rentas sempadan serta lawatan ke hab inkubator SOHO HiK bagi melihat lebih dekat ekosistem yang menyokong pembangunan perniagaan dan keusahawanan berasaskan digital.

Para peserta turut berpeluang meninjau penggunaan teknologi automasi di Pusat Pengedaran J&T Express, selain mendapat pendedahan mengenai aplikasi teknologi dron dalam sektor logistik. Pengalaman tersebut memberikan gambaran yang lebih menyeluruh mengenai perkembangan teknologi yang sedang membentuk masa depan industri e-dagang dan rantaian bekalan.

Selain aspek akademik dan industri, program ini turut memberi peluang kepada peserta untuk mendalami sejarah serta budaya Nanjing menerusi kunjungan ke beberapa lokasi dan institusi kebudayaan, antaranya Laomendong, Muzium Nanjing dan Gold-Foil Art Museum.

Penyertaan pensyarah KPTM Bangi dalam program antarabangsa seumpama ini merupakan satu platform penting dalam memperluas pengetahuan, memperoleh pengalaman lapangan serta membina jaringan industri di peringkat global.

Ilmu, pengalaman dan pendedahan yang diperoleh diharapkan dapat diadaptasikan dalam proses pengajaran dan pembelajaran, sekaligus memberi nilai tambah kepada pelajar khususnya dalam memahami perkembangan sebenar industri, teknologi digital dan perdagangan antarabangsa.

KPTM Bangi merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada kedua-dua pensyarah atas kejayaan menamatkan program ini. Semoga pengalaman di peringkat antarabangsa tersebut dapat terus menyumbang kepada peningkatan kualiti pendidikan serta usaha melahirkan graduan yang kompetitif, berkemahiran dan relevan dengan keperluan industri serta pasaran global.

Selamat kembali bertugas dan teruskan berbakti demi kecemerlangan KPTM Bangi.

 
Scroll to Top