Hubungi Kami
+60 38925 8309

Pertanyaan Lanjut
kptmbangi@gapps.kptm.edu.my

Majlis Penyerahan Lesen Memandu Program Mylesen B2 Peringkat Negeri Selangor

31 Mei 2025 | Sabtu
 
Satu Majlis Penyerahan Lesen Memandu Program Mylesen B2 Peringkat Negeri Selangor telah diadakan pada 31 Mei 2025 (Sabtu) bertempat di Dewan Seri Siantan, Selayang. Majlis penyerahan tersebut telah dirasmikan oleh Menteri Besar Selangor, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Haji Amirudin bin Shari dan turut dihadiri oleh Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia, Yang Berbahagia Datuk Aedy Fadly bin Ramli, wakil Pegawai-pegawai dari Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Selangor dan wakil Pegawai-pegawai dari MARA Negeri Selangor.
 
Program Mylesen B2 ini telah dilaksanakan oleh pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Selangor dengan kerjasama pihak MARA Negeri Selangor sebagai salah satu proses persiapan dan persediaan kepada pelajar sekolah menengah, universiti dan belia sebelum menempuh alam pekerjaan dengan pemilikan Lesen Memandu Malaysia (LMM) Kelas B2 (Motosikal) yang sah. Seramai 500 orang pelajar dari kategori kumpulan B40 dari IPMa terpilih di Negeri Selangor telah menyertai program ini sejak bulan Januari 2025 yang lalu.
 
Pelajar bernama Aireen Sofiya binti Mohamad Najib dari program Diploma in Business Management telah dipilih sebagai wakil pelajar dari Kolej Poly-Tech MARA Bangi untuk menerima Lesen Memandu Kelas B2 digital semasa majlis penyerahan tersebut.
 
Pihak Kolej Poly-Tech MARA Bangi merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan ribuan terima kasih kepada pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Selangor dan pihak MARA Negeri Selangor kerana memberi peluang dan membantu pelajar kami untuk memiliki Lesen Memandu Kelas B2 dengan menyertai program Mylesen B2 ini.
 
Scroll to Top