
APA KHABAR SENIOR 2.0
PUAN SITI KHAWA JANNAH NASUHA, CEO REMPAH MAK SITI INSPIRASI PELAJAR Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) BANGI DI APA KHABAR SENIOR 2.0?
Pada 17 Julai 2025 suasana Auditorium KPTM Bangi hari ini dipenuhi dengan semangat dan inspirasi apabila KPTM Bangi menganjurkan program “APA KHABAR SENIOR 2.0?”, menampilkan alumni terkemuka dan usahawan berjaya, Puan Siti Khawa, Ketua Pegawai Eksekutif Rempah Mak Siti. Program dijayakan oleh pihak Hal Ehwal Pelajar (HEP) dengan Kerjasama Persatuan Alumni KPTM Bangi. Turut turun padang ialah Pengarah BHEP KPTM Ibu Pejabat Puan Zailina Zakaria dan juga Exco Persatuan Alumni KPTM Bangi Puan Zue Hassim.
Program ini memberi peluang keemasan kepada para pelajar untuk berinteraksi secara langsung dengan Puan Siti Khawa, yang telah berkongsi pelbagai pandangan, tips dan pengalaman berharga daripada perjalanan keusahawanan beliau.
Para pelajar berpeluang mendengar kisah kejayaan dan cabaran yang dihadapi oleh Puan Siti Khawa, serta nasihat praktikal yang boleh diaplikasikan dalam bidang akademik dan juga kehidupan seharian. Sesi ini bukan sahaja menyuntik semangat baharu, malah membuka mata para pelajar tentang potensi peluang kerjaya atau kerjasama yang mungkin menanti mereka dalam industri.
Program seperti ini sangat penting untuk memberi pendedahan kepada pelajar kami tentang dunia sebenar, di samping dapat membina rangkaian dengan individu-individu berjaya seperti Puan Siti Khawa.
Kami berharap agar sesi “APA KHABAR SENIOR 2.0?” ini dapat menjadi pencetus semangat dan inspirasi kepada semua pelajar untuk terus cemerlang dunia dan akhirat di masa hadapan.