Hubungi Kami
+60 38925 8309

Pertanyaan Lanjut
kptmbangi@gapps.kptm.edu.my

Program Motivasi Pelajar Cemerlang : "Berusaha & Berjaya" Bersama Angkasawan Negara

Program Motivasi Pelajar Cemerlang : “Berusaha & Berjaya” Bersama Angkasawan Negara

Pada 24 Julai 2025 (Khamis), bertempat di Dewan Auditorium Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) Bangi, telah berlangsung sebuah program istimewa bertajuk “Program Motivasi Pelajar Cemerlang : Berusaha & Berjaya”, dari jam 10.00 pagi hingga 1.00 petang.

Program ini menjadi lebih bermakna dengan kehadiran penceramah jemputan istimewa, Dato’ Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Al Masrie Bin Sheikh Mustapha, Angkasawan Negara yang pertama serta tokoh motivasi yang dihormati.

Dalam sesi yang penuh inspirasi ini, beliau berkongsi kisah perjalanan hidupnya serta pengalaman sebenar selama 12 hari di angkasa, termasuk tugasan penting dalam misi penyelidikan saintifik di Stesen Angkasa Antarabangsa.

Beliau turut menceritakan pelbagai cabaran unik ketika berada dalam keadaan mikrograviti, seperti:

  • Cara mandi tanpa air yang mengalir

  • Cara tidur dengan posisi terapung dalam beg tidur khas

  • Cara makan menggunakan makanan pek vakum

  • Cara menggosok gigi dengan jumlah air yang sangat minimum

Pengalaman luar biasa ini membuka perspektif pelajar tentang dunia sains angkasa dan pentingnya memiliki disiplin, fokus dan impian besar dalam kehidupan.

Para pelajar turut berpeluang bertanyakan soalan secara langsung kepada beliau serta mengambil gambar kenang-kenangan bersama ikon negara ini, suatu momen berharga yang pasti tidak akan dilupakan.

Sebagai penghargaan, setiap peserta berpeluang memiliki buku “KEMBARA KE ANGKASA” yang mengandungi tandatangan eksklusif Dato’ Dr. Sheikh Muszaphar, serta sijil penyertaan daripada KPTM Bangi.

Sebelum program berakhir, suasana menjadi lebih meriah apabila pihak KPTM Bangi turut meraikan sambutan hari lahir Dato’ Dr. Sheikh Muszaphar, sebagai tanda penghargaan dan kemesraan warga kolej terhadap tetamu istimewa tersebut.

Program ini bukan sahaja menyemarakkan semangat pelajar untuk terus berusaha dan berjaya, tetapi juga memberi pengalaman langsung yang penuh inspirasi dan bermakna.

“We Lead You to Success!”

 
 
Scroll to Top