Hubungi Kami
+60 38925 8309

Pertanyaan Lanjut
kptmbangi@gapps.kptm.edu.my

KPTM Bangi Raikan 727 Pelajar Cemerlang

Bandar Baru Bangi, 28 Ogos 2025 – Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) Bangi sekali lagi meraikan kejayaan para pelajar melalui penganjuran Majlis Apresiasi Siswa (MAS) 2025 yang berlangsung di Hotel Tenera, Bandar Baru Bangi. Seramai 727 orang pelajar diraikan dalam majlis penuh bermakna ini atas kecemerlangan pencapaian akademik dan kokurikulum mereka.
 
Pengarah KPTM Bangi, YBhg. Encik Ku Mohd Akhir bin Ku Saad, dalam ucapan perasmian menyatakan bahawa MAS merupakan acara tahunan yang sentiasa dinanti-nantikan sebagai platform untuk mengiktiraf usaha gigih, disiplin dan ketekunan para pelajar. Beliau menegaskan bahawa pencapaian ini tidak hanya hasil usaha individu, tetapi turut didorong sokongan para pensyarah serta keluarga tercinta.
 
“Majlis ini bukan sahaja mengiktiraf kejayaan akademik, malah turut meraikan sahsiah, kepimpinan dan pencapaian holistik pelajar. Mereka adalah pemimpin masa hadapan yang bakal mencorakkan landskap pembangunan negara,” ujar beliau.
 
Sementara itu, Timbalan Pengarah Akademik, YBhg. Puan Hasniah binti Ismail, menekankan bahawa MAS adalah manifestasi penghargaan terhadap komitmen pelajar. Tahun ini turut menyaksikan penganugerahan Anugerah Dekan, Anugerah Senat serta Anugerah Khas (Kategori Harapan dan Inovasi Cemerlang) kepada lapan (8) pelajar terpilih.
 
Majlis yang penuh gilang-gemilang ini turut diserikan dengan kehadiran warga pengurusan KPTM Bangi, pensyarah, serta para pelajar. MAS 2025 menjadi bukti kesungguhan KPTM Bangi dalam melahirkan graduan berilmu, berkemahiran dan berakhlak mulia, selaras dengan aspirasi negara dalam membentuk modal insan berkualiti tinggi.
 
Scroll to Top