
MARA FUN RUN ANAK MALAYSIA 2025 : ZAHIRKAN SEMANGAT UNIFIED ENTITY, BUDAYAKAN GAYA HIDUP SIHAT
MARA FUN RUN ANAK MALAYSIA 2025 : ZAHIRKAN SEMANGAT UNIFIED ENTITY,
BUDAYAKAN GAYA HIDUP SIHAT
28 September 2025, Ahad – Majlis Amanah Rakyat (MARA) Fun Run Anak Malaysia 2025 edisi keenam, berjaya menghimpunkan lebih 1,800 peserta yang diadakan di pekarangan Ibu Pejabat MARA dengan laluan KL Car Free Morning, hari ini.
Peserta yang terdiri daripada warga kerja MARA termasuk di bawah subsidiari, pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dan juga KPTM serta UPTM, ahli keluarga, usahawan, komuniti setempat serta orang ramai yang mendaftar secara online.
Acara perasmian telah disempurnakan oleh YBhg. Datuk Wira Dr. Asyraf Wajdi bin Dato’ Dusuki, Pengerusi MARA. Hadir sama, Ketua Pengarah MARA, Dato’ Zulfikri bin Osman serta barisan pegawai pengurusan tertinggi MARA dan subsidiari antaranya Ketua Pegawai Perkhidmatan Kolej Poly-Tech MARA Sdn. Bhd. (KPTMSB), Datuk Haji Mohd Haswandi bin Ahmad dan Pengarah Kanan Jabatan Modal Insan KPTMSB, En Mohd Yusoff bin Mat Ali, yang turut menyokong penganjuran ini.
Program ini merupakan kemuncak kepada siri inisiatif MARA Sihat : The Sweet Escape yang telah dijalankan sejak beberapa tahun lalu sebagai usaha membudayakan gaya hidup sihat dalam kalangan warga MARA dan komuniti.
Ia menekankan kepentingan aktiviti fizikal, pemakanan seimbang dan kesedaran kesihatan bagi mencegah penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti kencing manis dan obesiti, seiring dengan aspirasi Kempen War on Sugar oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).