Volunteer @ Standard Chartered Singapore Marathon (SCSM 2025)

Program Volunteer @ Standard Chartered Singapore Marathon (SCSM 2025) telah berlangsung dengan jayanya pada 6 dan 7 Disember 2025 bertempat di Marina Bay, Singapore. Bagi program bertaraf antarabangsa ini, Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) Bangi telah menghantar sukarelawan dalam kalangan pelajar, bersama pengiring, bagi menyertai dan memberi sokongan kepada penganjuran acara tersebut.

Sepanjang dua (2) hari program berlangsung, para pelajar sukarelawan KPTM Bangi telah ditempatkan di beberapa stesen utama bagi membantu kelancaran acara, termasuk pengurusan peserta, pemberian air minuman, kawalan laluan serta sokongan logistik kepada pihak penganjur. Peranan pengiring pula amat penting dalam memastikan kebajikan, keselamatan dan kelancaran pergerakan para pelajar sepanjang program berlangsung.

Penglibatan pelajar dalam SCSM 2025 ini memberi pendedahan berharga terhadap pengurusan acara sukan berskala besar di peringkat antarabangsa. Selain meningkatkan disiplin dan ketahanan fizikal, program ini turut memupuk nilai kepimpinan, kerjasama berpasukan, komunikasi berkesan serta semangat kesukarelawanan dalam kalangan pelajar.

Secara keseluruhannya, penyertaan pelajar KPTM Bangi sebagai sukarelawan dalam program Volunteer @ SCSM 2025 telah memberikan impak yang amat positif. Pengalaman ini bukan sahaja memperkukuh kemahiran insaniah pelajar, malah menjadi platform pembelajaran luar bilik darjah yang signifikan dalam melahirkan graduan yang holistik, berdaya saing dan berwawasan global.

 
Scroll to Top