Eksplorasi Pesisir Siswa 2026 | Program Anak Angkat

“Jauh perjalanan, luas pengalaman. Erat silaturahim, kukuh nilai kemasyarakatan.”
 
Pada 17 hingga 19 Julai 2026, seramai 38 orang mahasiswa Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) Bangi telah menyertai Program Eksplorasi Pesisir Siswa : Program Anak Angkat yang berlangsung di Perkampungan Nelayan, Kampung Kelanang, Banting, Selangor. Program ini melibatkan 15 buah keluarga angkat yang dengan penuh keikhlasan membuka pintu rumah serta hati mereka untuk menerima para peserta sebagai sebahagian daripada keluarga sepanjang program berlangsung.
 
Program ini telah dirancang dan diselaraskan oleh Timbalan Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) yang bertindak sebagai pengarah program, Nurin Iman Nasuha Binti Norezal dan Exco MPP Abdul Alif Aiman Bin Abdul Han, yang bertindak sebagai timbalan pengarah program dengan pemantauan daripada Encik Mohamad Khairy Izwan Bin Mohamad Zamani, selaku penasihat program merangkap pegawai pengiring.
 
Sepanjang tiga hari dua malam, para peserta bukan sahaja didedahkan dengan kehidupan masyarakat pesisir pantai, malah berpeluang menghayati sendiri pengalaman hidup bersama keluarga angkat melalui pelbagai aktiviti yang telah disusun. Antara pengisian program ialah sesi suai kenal bersama Ketua Kampung dan keluarga angkat, aktiviti sukaneka, penyertaan dalam Festival Pantai Kelanang, malam BBQ bersama keluarga angkat, solat berjemaah dan tazkirah, senamrobik, gotong-royong membersihkan kawasan perkuburan dan jeti, serta majlis penutup yang penuh bermakna.
 
Salah satu detik yang membanggakan sepanjang program ini ialah kejayaan keluarga angkat yang diwakili oleh Nur Ahtiqah Syakila Binti Hairuddin, Nur Arinie Aqilah Binti Azman dan Damia Aqeelah Binti Muhammad Adi apabila berjaya meraih tempat ketiga dalam pertandingan mengutip pepahat sempena Festival Pantai Kelanang.
 
Lebih daripada sekadar sebuah program, Eksplorasi Pesisir Siswa 2026 menjadi wadah untuk memupuk nilai kepimpinan, semangat kesukarelawanan, kerjasama dan empati dalam kalangan mahasiswa. Program ini turut mengukuhkan hubungan antara mahasiswa dan komuniti setempat, di samping memberi peluang kepada peserta untuk menghargai budaya, adat resam serta kehidupan masyarakat nelayan yang kaya dengan nilai murni, semangat kejiranan dan budaya saling membantu.
 
Semoga setiap pengalaman, kenangan dan ukhuwah yang terjalin sepanjang program ini akan terus terpahat dalam ingatan setiap peserta, sekali gus menjadi pemangkin kepada pembentukan mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, malah mempunyai jati diri, kepimpinan dan semangat kemasyarakatan yang tinggi.
 
“Datang sebagai tetamu, pulang sebagai keluarga.”
 
📍 Kampung Kelanang, Banting, Selangor
📅 17 – 19 Julai 2026
38 Mahasiswa | 15 Keluarga Angkat
Anjuran: Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) KPTM Bangi
 

Facebook Rasmi KPTM

#MARA #KPTM #UPTM #TowardsNextLevelOfExcellence #KPTMBangi
Scroll to Top