LAWATAN PANEL PENILAI LUAR DUBLIN BUSINESS SCHOOL PERKUKUH KUALITI AKADEMIK PROGRAM BAAF KPTM BANGI
BANGI, 22 September 2026 – Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) Bangi telah menerima kunjungan Panel Penilai Luar (External Examiner) dari Dublin Business School (DBS), Ireland, Dr. Rakesh Kondamuri, bagi sesi perbincangan dan pemantauan akademik program Bachelor of Arts (Hons) in Accounting and Finance (BAAF), in Collaboration with Dublin Business School, Ireland.
Kunjungan tersebut turut disertai oleh pensyarah DBS, Richard O’Callaghan, dan diiringi oleh Richard Bradley, sebagai sebahagian daripada agenda lawatan DBS ke KPTM Bangi.
Sesi dimulakan dengan mesyuarat bersama Pengarah KPTM Bangi, Encik Ku Mohd Akhir bin Ku Saad, serta barisan pengurusan KPTM Bangi. Perbincangan memberi tumpuan kepada pelaksanaan akademik dan perkembangan program BAAF serta usaha berterusan dalam memastikan kualiti penyampaian program terus diperkasakan.
Sepanjang lawatan, Dr. Rakesh turut dibawa meninjau fasiliti dan persekitaran kampus KPTM Bangi bagi mendapatkan gambaran lebih menyeluruh mengenai kemudahan yang menyokong proses pengajaran dan pembelajaran pelajar.
Beliau turut berkesempatan berinteraksi secara langsung bersama pelajar-pelajar BAAF di bilik kuliah dan auditorium. Interaksi tersebut memberi ruang untuk melihat lebih dekat pengalaman pembelajaran pelajar serta pelaksanaan program di peringkat kampus.
Sesi seterusnya melibatkan pertemuan bersama barisan pensyarah BAAF, yang menjadi platform untuk bertukar pandangan dan berkongsi maklum balas berkaitan pelaksanaan akademik, pengajaran dan pembelajaran serta perkembangan program.
Pada sebelah petang, agenda lawatan diteruskan ke Kampus Cyberjaya, kampus satelit KPTM Bangi, sebelum kunjungan Dr. Rakesh bersama delegasi DBS berakhir.
Lawatan Panel Penilai Luar ini mencerminkan komitmen berterusan antara KPTM Bangi dan Dublin Business School dalam memperkukuh kerjasama akademik, pemantauan kualiti serta pembangunan program BAAF. Usaha ini penting untuk memastikan pengalaman pembelajaran yang diterima pelajar terus selari dengan standard akademik yang ditetapkan.
KPTM Bangi merakamkan penghargaan kepada Dr. Rakesh Kondamuri dan delegasi Dublin Business School atas kunjungan serta perkongsian yang diberikan. Semoga kerjasama strategik antara KPTM Bangi dan DBS terus berkembang dalam memperkasakan pendidikan berkualiti serta pengalaman pembelajaran bertaraf antarabangsa bagi para pelajar.