MPP KPTM BANGI SERTAI KURSUS KENEGARAAN MALAYSIA MADANI

BALIK PULAU, 11 Oktober 2026 (Ahad) — Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) KPTM Bangi sesi 2026/2027 telah menyertai Kursus Kenegaraan Malaysia MADANI yang berlangsung di PLK Balik Pulau, Pulau Pinang, bagi memperkukuh pengetahuan kenegaraan serta membangunkan potensi kepimpinan pelajar.

Kursus anjuran Bahagian Belia, Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM), Pejabat Perdana Menteri ini turut melibatkan barisan MPP daripada KPTM Batu Pahat, KPTM Ipoh, KPTM Alor Setar, KPTM Kuantan, KPTM Kota Bharu dan Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM).

Penganjuran kursus ini bertujuan untuk memperkukuh pemahaman peserta mengenai Perlembagaan Persekutuan, sejarah Malaysia, Rukun Negara serta aspirasi Malaysia MADANI. Kursus ini turut memberikan penekanan terhadap pembangunan kemahiran mengurus organisasi, daya tahan dalam menghadapi tekanan dan semangat kerjasama dalam kalangan pemimpin pelajar yang baharu dilantik.

Majlis penutup kursus telah disempurnakan oleh YBrs. Encik Mudzir bin Mohamad, Ketua Pegawai Perkhidmatan Perniagaan KPTM Sdn. Bhd. Turut hadir ialah Cik Hairunnida binti Mansor, Pengarah Bahagian Hal Ehwal Pelajar, KPTM.

Penyertaan dalam kursus ini diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada pembentukan barisan kepimpinan pelajar yang berintegriti, berdaya tahan dan berjiwa patriotik. Semoga ilmu serta pengalaman yang diperoleh dapat dimanfaatkan oleh MPP KPTM Bangi dalam menggalas amanah sebagai wakil pelajar, menjaga kebajikan warga pelajar serta menyumbang kepada pembangunan institusi dan negara.

Scroll to Top