
PERUTUSAN PENGARAH KPTM BANGI SEMPENA HARI KEMERDEKAAN MALAYSIA.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
Alhamdulillah, dengan penuh rasa syukur ke hadrat Allah SWT, kita diberi kesempatan untuk menyambut Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-68 pada tahun ini.
Tema kemerdekaan pada kali ini bukanlah sekadar simbol sejarah, tetapi cerminan tekad dan iltizam kita untuk terus memajukan bangsa melalui ilmu, nilai dan perpaduan semua.
Buat warga Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) Bangi, semangat ini kita sedang terjemahkan dalam bentuk khidmat pendidikan yang berprestij, pembinaan sahsiah yang unggul kepada para pelajar serta mengukuhkan budaya kerja yang cemerlang dikalangan warga kerja yang budiman.
Allah SWT berfirman: “Dan tolong-menolonglah kamu dalam mengerjakan kebajikan dan takwa” (Surah al-Ma’idah).
Gagasan inilah yang perlu kita terus suburkan dalam kalangan warga KPTM samada pensyarah, staf sokongan dan para pelajar.
Di kampus, kerjasama antara jabatan, sinergi akademik dan industri-industri serta sokongan dari komuniti setempat adalah kunci dalam melonjakkan reputasi KPTM Bangi sebagai institusi pilihan ramai.
Pendidikan adalah wasilah memerdekakan minda, memperkasa potensi dan membuka ruang transformasi sosial.
Allah SWT berfirman: “Allah mengangkat darjat orang-orang yang beriman dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat.” (Surah al-Mujadalah).
Ayat ini mengingatkan kita bahawa kemuliaan ilmu adalah asas kemajuan sebenar. Justeru, KPTM Bangi komited dalam memperkukuhkan akademik yang berimpak tinggi, memperkasakan keusahawanan pelajar, serta mempertingkatkan kemahiran insaniah agar graduan kita bukan sahaja cemerlang di atas kertas, tetapi berjiwa merdeka dan sentiasa beretika dengan adab yang tinggi.
Setinggi-tinggi penghargaan kepada semua staf KPTM Bangi yang terdiri dari barisan pensyarah, pengurusan tertinggi, dan kakitangan sokongan yang tidak pernah jemu melaksanakan amanah. Dedikasi anda dalam bilik kuliah, pejabat dan dilapangan telah memberi sumbangan yang besar kepada kemajuan institusi kita.
Komitmen untuk sentiasa memperbaiki mutu kerja adalah sebahagian daripada nilai ihsan didalam syariat seperti mana firman Allah SWT. “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu berlaku adil dan ihsan.” (Surah an-Nahl). Semangat ihsan inilah yang kita zahirkan melalui kerja berpasukan, ketelusan dan budaya prestasi tinggi.
Kemerdekaan juga menuntut kita untuk memelihara keamanan, memupuk kasih sayang pada tanah air dan menolak segala bentuk perbuatan jahat seperti rasuah dan ketidakadilan.
KPTM Bangi akan terus bergerak ke hadapan melalui pemantapan kualiti akademik dan peningkatan kebolehpasaran graduan tanpa perlu menoleh ke belakang. Semua ini hanya dapat direalisasikan dengan kesatuan hati dan tindakan bersama semua warga kerja.
Justeru, marilah kita mensyukuri nikmat kemerdekaan ini dengan memperbaharui tekad untuk bekerja lebih gigih dan lebih bertintegriti.
Semoga Allah SWT memberkati usaha kita, memelihara perpaduan, serta mengurniakan kejayaan berterusan kepada KPTM Bangi.
Selamat Hari Kemerdekaan ke-68.
Sekian, terima kasih.
Tuan Haji Ku Mohd Akhir Bin Ku Saad
Pengarah
Kolej Poly Tech MARA Bangi