PROGRAM JALINAN KASIH SENTUHAN JIWA PERKUKUH KESEDARAN DIGITAL PELAJAR

BANGI, 17 Oktober 2026 — Seramai 200 pelajar asrama KPTM Bangi telah menyertai program Jalinan Kasih Sentuhan Jiwa yang berlangsung di Dewan Auditorium KPTM Bangi, bagi meningkatkan kesedaran tentang cabaran dunia digital serta kepentingan penggunaan teknologi secara bijaksana.

Program anjuran Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) KPTM Bangi dengan kerjasama Pejabat Agama Islam Daerah Hulu Langat ini mengetengahkan tajuk “Norma Baharu dan Cabaran Pornografi Digital”. Pengisian tersebut bertujuan memberikan pendedahan kepada pelajar tentang cabaran pornografi digital, di samping menekankan kepentingan membina jati diri dan sikap bertanggungjawab dalam penggunaan teknologi.

Sesi ceramah telah disampaikan oleh Encik Nor Firdaus Norzaini. Turut hadir ialah Ustaz Mohd Azlan bin Jaafar, pegawai Pejabat Agama Islam Daerah Hulu Langat.

Penganjuran program ini merupakan antara usaha KPTM Bangi dalam menyokong pembentukan generasi muda yang berilmu, berakhlak mulia dan berjati diri yang kukuh. Kesedaran digital serta pengukuhan nilai diri diharapkan dapat membantu pelajar membuat pilihan yang bijak dalam menghadapi cabaran persekitaran digital.

Semoga ilmu dan panduan yang diperoleh menerusi program ini dapat dimanfaatkan oleh para pelajar dalam kehidupan seharian, seterusnya menyumbang kepada pembentukan komuniti kampus yang prihatin dan bertanggungjawab.

Scroll to Top