190 Pelajar dan 7 Staf KPTM Bangi Jayakan Kuala Lumpur Standard Chartered Marathon (KLSCM) 2026 sebagai Sukarelawan

KUALA LUMPUR, 4 Oktober 2026 – Seramai 190 orang pelajar dan tujuh (7) orang staf Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) Bangi telah menyumbang tenaga dan komitmen sebagai sukarelawan dalam menjayakan acara berprestij Kuala Lumpur Standard Chartered Marathon (KLSCM) 2026, khususnya bagi kategori Half Marathon (21KM) dan Full Marathon (42KM).

Penglibatan seramai 197 sukarelawan daripada KPTM Bangi ini mencerminkan semangat kesukarelawanan, kerjasama berpasukan serta komitmen tinggi warga kolej dalam menyokong penganjuran acara sukan bertaraf antarabangsa.

Sebahagian daripada sukarelawan telah memulakan persiapan seawal malam 3 Oktober 2026 bagi memastikan segala tugasan dan tanggungjawab yang diberikan dapat dilaksanakan dengan lancar sepanjang acara berlangsung.

Walaupun berdepan dengan cabaran masa, keletihan dan tuntutan tugasan sepanjang program, para sukarelawan tetap menunjukkan semangat yang tinggi, disiplin serta kesungguhan dalam memberikan kerjasama dan bantuan bagi memastikan kelancaran perjalanan acara.

Penyertaan dalam program ini bukan sahaja memberi peluang kepada pelajar dan staf KPTM Bangi untuk menyumbang kepada kejayaan penganjuran acara sukan berskala besar, malah turut memberikan pengalaman berharga dalam aspek pengurusan acara, komunikasi, kepimpinan, disiplin serta kerja berpasukan.

Selain itu, penglibatan aktif pelajar dalam aktiviti kesukarelawanan seumpama ini merupakan sebahagian daripada usaha KPTM Bangi dalam memperkukuh pembangunan sahsiah, kemahiran insaniah dan nilai tanggungjawab sosial dalam kalangan pelajar melalui pengalaman pembelajaran di luar bilik kuliah.

Di sebalik setiap langkah peserta menuju ke garisan penamat, terdapat sumbangan dan usaha gigih para sukarelawan yang memainkan peranan penting dalam menyokong kelancaran penganjuran KLSCM 2026.

Pihak pengurusan KPTM Bangi merakamkan setinggi-tinggi penghargaan, tahniah dan syabas kepada kesemua 190 pelajar serta tujuh (7) staf yang telah memberikan komitmen, tenaga dan masa sepanjang menjalankan tugasan sukarelawan.

Diharapkan agar pengalaman yang diperoleh dapat menjadi inspirasi kepada seluruh warga KPTM Bangi untuk terus aktif dalam aktiviti kesukarelawanan, di samping memupuk semangat kepimpinan, kerjasama dan keprihatinan terhadap masyarakat.

190 Pelajar. 7 Staf. Satu Semangat. Satu Kebanggaan KPTM Bangi!

Proud of You, KPTM Bangi!

Scroll to Top