The Batam Impact Initiative 2026: KPTM Bangi Perkukuh Jaringan Antarabangsa dan Pemerkasaan Komuniti di Batam, Indonesia

BATAM, INDONESIA, 28–30 September 2026 – Jabatan Pengurusan Perniagaan (JPP), Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) Bangi telah berjaya melaksanakan program “The Batam Impact Initiative: Misi Elevasi Komuniti Serantau & Jaringan Strategik” yang berlangsung selama tiga (3) hari di Batam, Indonesia.

Program ini merupakan salah satu inisiatif strategik KPTM Bangi dalam memperkukuh hubungan kerjasama antarabangsa, memperluas jaringan akademik dan industri serta melaksanakan aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang memberi manfaat kepada komuniti setempat.

Program ini diketuai oleh Puan Lisza binti Mohamed Ismail, Ketua Jabatan Pengurusan Perniagaan KPTM Bangi, dengan Puan Nor Zalindah binti Abdul Rahman selaku Pengarah Program, serta disertai oleh lapan orang wakil pensyarah daripada Jabatan Pengurusan Perniagaan KPTM Bangi.

Antara pengisian utama program ialah lawatan akademik ke Universitas Ibnu Sina Batam, yang membuka ruang kepada sesi perkongsian ilmu, pertukaran pandangan serta penerokaan potensi kerjasama akademik antara institusi pendidikan tinggi Malaysia dan Indonesia. Inisiatif ini bertujuan untuk memperluas jaringan profesional serta memperkukuh hubungan dua hala dalam bidang pendidikan dan pembangunan akademik.

Selain itu, delegasi KPTM Bangi turut mengadakan lawatan industri ke Sun Li by Batam Layer Cakes, sebuah perusahaan kek lapis yang terkenal di Batam. Lawatan ini memberikan pendedahan secara langsung berkaitan dengan operasi perniagaan, pengurusan perusahaan serta strategi keusahawanan yang diamalkan dalam industri makanan tempatan. Pengalaman ini turut menjadi platform perkongsian pengetahuan yang boleh dimanfaatkan dalam memperkaya pendekatan pengajaran dan pembelajaran berkaitan bidang pengurusan perniagaan dan keusahawanan.

Dalam usaha menyemai nilai kemanusiaan dan keprihatinan sosial, program ini turut merangkumi aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) bersama penghuni Panti Asuhan Assyaamil Batam. Pelbagai aktiviti telah dilaksanakan, termasuk sesi interaksi bersama penghuni, perkongsian ilmu berkaitan celik kewangan serta penyampaian sumbangan kebajikan sebagai tanda keprihatinan dan sokongan kepada komuniti setempat.

Pelaksanaan aktiviti CSR ini bukan sahaja memberi peluang kepada delegasi untuk menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat, malah turut memperkukuh nilai empati, semangat kesukarelawanan dan tanggungjawab sosial dalam kalangan warga KPTM Bangi.

Secara keseluruhannya, penganjuran The Batam Impact Initiative 2026 mencerminkan komitmen berterusan Jabatan Pengurusan Perniagaan KPTM Bangi dalam mengintegrasikan elemen akademik, industri dan khidmat komuniti melalui pendekatan yang holistik serta berimpak.

Program ini juga menjadi platform penting dalam menyokong usaha pengantarabangsaan institusi, memperkasa kompetensi pensyarah serta membina hubungan strategik yang berpotensi membuka lebih banyak peluang kerjasama pada masa hadapan.

Pihak KPTM Bangi merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada seluruh jawatankuasa pelaksana serta semua pihak yang telah memberikan komitmen dan kerjasama dalam menjayakan program ini.

Diharapkan agar segala ilmu, pengalaman dan jaringan yang terjalin sepanjang program berlangsung dapat dimanfaatkan secara berterusan, sekaligus menjadi pemangkin kepada pembangunan akademik, pengukuhan hubungan industri dan pemerkasaan komuniti di peringkat serantau.

“Memperkasa Komuniti • Membina Jaringan • Mencipta Impak”

Scroll to Top