KPTM Bangi Terima Kunjungan Penandaarasan Multimedia University (MMU) bagi Memperkukuh Pembangunan Sukan dan Pengurusan Pelajar
BANGI, 2 Oktober 2026 – Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) Bangi telah menerima kunjungan delegasi daripada Multimedia University (MMU) sempena Lawatan Penandaarasan dan Perbincangan antara Unit Sukan MMU dan KPTM Bangi.
Lawatan ini bertujuan untuk mendapatkan maklumat dan pendedahan berkaitan penawaran kursus Pengurusan Sukan di KPTM Bangi, di samping menjadi platform untuk perkongsian ilmu, pengalaman serta amalan terbaik dalam usaha memperkukuh ekosistem sukan dan pembangunan pelajar di peringkat institusi pendidikan tinggi.
Delegasi MMU diketuai oleh Prof. Ir. Dr. Zulfadzli Yusoff, Naib Presiden, Jabatan Pengalaman Pelajar dan Pembangunan Keusahawanan (SEED), MMU, bersama lima orang pegawai yang terdiri daripada:
En. Fazli Sharil – Pengurus, Jabatan Gaya Hidup dan Pengalaman Pelajar (STyLE), MMU.
En. Mohd Zulfadili Hamzah – Penolong Pengurus, Jabatan Gaya Hidup dan Pengalaman Pelajar (STyLE), MMU.
En. Mohd Faizol Sulaiman – Penolong Pengurus, Jabatan Gaya Hidup dan Pengalaman Pelajar (STyLE), MMU.
Pn. Haslin Husin – Pegawai Tadbir, Jabatan Gaya Hidup dan Pengalaman Pelajar (STyLE), MMU.
En. Amirul Hakim Zulkarnain – Instructor Sukan, Jabatan Gaya Hidup dan Pengalaman Pelajar (STyLE), MMU.
Sementara itu, delegasi KPTM Bangi diketuai oleh Encik Ku Mohd Akhir bin Ku Saad, Pengarah KPTM Bangi, bersama barisan pengurusan serta wakil daripada Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan serta Jabatan Sukan dan Rekreasi KPTM Bangi.
Sepanjang sesi lawatan dan perbincangan, kedua-dua institusi berpeluang bertukar pandangan serta berkongsi pengalaman berkaitan pengurusan sukan, pembangunan program akademik dan pelaksanaan aktiviti yang menyokong pembangunan holistik pelajar.
Perbincangan ini turut membuka ruang untuk meneroka potensi kerjasama strategik antara KPTM Bangi dan MMU, khususnya dalam memperkukuh aspek pengurusan sukan, pembangunan bakat serta penglibatan aktif pelajar dalam aktiviti kesukanan di peringkat institusi pendidikan tinggi.
Penganjuran lawatan penandaarasan seumpama ini mencerminkan komitmen KPTM Bangi dalam memperluas jaringan kerjasama antara institusi pendidikan tinggi, di samping memperkasa perkongsian kepakaran dan amalan terbaik bagi meningkatkan kualiti pendidikan serta pembangunan sahsiah pelajar.
Pihak KPTM Bangi merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada delegasi Multimedia University (MMU) atas kesudian mengadakan kunjungan penandaarasan ini.
Diharapkan agar pertemuan ini menjadi titik permulaan kepada hubungan kerjasama yang lebih erat dan berterusan antara kedua-dua institusi, sekali gus membuka peluang kepada pelaksanaan inisiatif bersama yang memberi manfaat kepada pembangunan akademik, sukan dan kecemerlangan pelajar pada masa hadapan.