Kunjungan Timbalan Pengarah Akademik KPTM Bangi ke Bank Islam Kuala Lumpur Perkukuh Hubungan Akademik & Industri

KUALA LUMPUR – Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) Bangi terus komited dalam memperkukuh hubungan strategik antara institusi pendidikan dan industri menerusi kunjungan akademik ke Bank Islam Kuala Lumpur yang diketuai oleh Timbalan Pengarah Akademik KPTM Bangi, Puan Noor Wahidah binti Mustafa, bersama barisan pensyarah Program Diploma in Islamic Banking and Finance (AF101).

Kunjungan ini bertujuan untuk meneroka peluang kerjasama serta mendapatkan pendedahan dan perkongsian ilmu berkaitan perkembangan semasa industri kewangan dan perbankan Islam, khususnya dalam usaha memperkasakan kualiti pendidikan serta meningkatkan kebolehpasaran graduan.

Rombongan KPTM Bangi telah disambut mesra oleh Ustaz Asyraf bin Shanurudin, Senior Consultant, Shariah, BIMB Securities Sdn. Bhd. Sesi kunjungan turut diisi dengan taklimat dan perkongsian ilmu yang disampaikan oleh Ustaz Muhammad Shahier Sa’min, Head of Shariah, BIMB Securities Sdn. Bhd.

Sepanjang sesi perbincangan, pelbagai pandangan, pengalaman serta input bernilai telah dikongsikan bagi memberikan perspektif yang lebih luas tentang keperluan dan perkembangan industri kewangan Islam. Perkongsian tersebut turut membuka ruang untuk meneroka potensi kerjasama antara pihak akademik dan industri bagi memperkukuh pembangunan ilmu dan kompetensi pelajar.

Kunjungan ini merupakan salah satu usaha KPTM Bangi untuk merapatkan jurang antara pembelajaran akademik dan amalan industri sebenar. Hubungan yang terjalin diharapkan dapat membuka lebih banyak peluang kerjasama yang memberi manfaat kepada para pensyarah dan pelajar, khususnya dalam bidang perbankan dan kewangan Islam.

Pihak KPTM Bangi merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada BIMB Securities Sdn. Bhd. atas kesudian menerima kunjungan serta berkongsi kepakaran, pengalaman dan pandangan yang amat bermakna.

Diharapkan agar kunjungan ini menjadi titik permulaan kepada hubungan kerjasama yang lebih erat dan berterusan antara KPTM Bangi dengan pihak industri, sekali gus menyokong usaha melahirkan graduan yang berpengetahuan, berkemahiran, berdaya saing dan bersedia memenuhi keperluan industri kewangan Islam pada masa hadapan.

 
Scroll to Top