KPTM BANGI KONGSI PERSIAPAN GRADUAN HADAPI KEPERLUAN INDUSTRI MENERUSI MALAYSIA HARI INI TV3

BANGI, 14 September 2026 – Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) Bangi mendapat liputan menerusi rancangan Malaysia Hari Ini (MHI), TV3 dalam sesi wawancara bersama Tuan Haji Radzuan Razali, Ketua Pegawai Eksekutif Kolej Poly-Tech MARA Sdn. Bhd. (KPTMSB) dan Encik Ku Mohd Akhir bin Ku Saad, Pengarah KPTM Bangi.

Wawancara tersebut mengetengahkan isu kesediaan belia menghadapi keperluan industri, khususnya kepentingan kerjasama strategik antara institusi pendidikan, pemain industri dan badan profesional dalam melahirkan graduan yang kompeten, berdaya saing serta bersedia memasuki dunia pekerjaan.

Antara perkara yang diberi penekanan ialah usaha KPTM Bangi untuk terus memperkukuh program akademik menerusi jaringan bersama industri dan badan profesional. Pendekatan ini penting bagi memastikan kandungan serta pengalaman pembelajaran yang diterima pelajar kekal relevan dengan perkembangan industri dan keperluan pasaran kerja semasa.

Turut diketengahkan ialah Bachelor of Arts (Hons) in Accounting and Finance (BAAF) sebagai antara program yang menyediakan laluan kepada pelajar dalam bidang perakaunan dan kewangan. Program ini diperkukuh menerusi hubungan dengan badan profesional seperti Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) dan Chartered Institute of Management Accountants (CIMA), di samping usaha memperluas kerjasama dengan Malaysian Institute of Certified Public Accountants (MICPA) serta rangkaian profesional antarabangsa.

Program BAAF turut mempunyai pengiktirafan Malaysian Qualifications Agency (MQA) dan Quality and Qualifications Ireland (QQI). Pelaksanaan program yang diselaraskan dengan standard akademik Dublin Business School (DBS), Ireland memberikan pendedahan antarabangsa kepada pelajar serta membuka ruang untuk mereka meneroka peluang pendidikan dan kerjaya di peringkat global.

Dalam wawancara tersebut, agenda pengantarabangsaan KPTM Bangi turut dibincangkan. Antara perancangan yang diketengahkan ialah usaha memperluas jaringan akademik dan industri serta perancangan pengembangan kampus ke Cyberjaya, dengan memberi tumpuan kepada kemasukan pelajar antarabangsa.

Keseluruhan usaha ini mencerminkan komitmen KPTM Bangi untuk melahirkan graduan yang mempunyai kebolehpasaran tinggi, bersedia menghadapi masa hadapan (future-ready) serta memiliki kompetensi yang selari dengan perubahan industri dan perkembangan teknologi.

Usaha memperkukuh pendidikan dalam bidang perakaunan dan kewangan ini juga menyokong aspirasi negara untuk meningkatkan bilangan tenaga profesional berkemahiran serta memenuhi keperluan sektor perakaunan pada masa hadapan.

KPTM Bangi akan terus memperkukuh jaringan industri, kerjasama profesional dan pengantarabangsaan pendidikan dalam usaha menyediakan pengalaman pembelajaran berkualiti serta melahirkan graduan yang mampu bersaing di peringkat nasional dan antarabangsa.

BAAF KPTM Bangi – Membina Laluan Pendidikan Antarabangsa, Memperkukuh Kompetensi Profesional dan Menyediakan Graduan untuk Masa Depan.

 
Scroll to Top