SESI TAKLIMAT DAN KUNJUNGAN SMK BUKIT GUNTONG KE KPTM BANGI

BANGI, 10 September 2026 – Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) Bangi berbesar hati menerima kunjungan daripada Sekolah Menenggah Kebangsaan Bukit Guntong, Kuala Nerus, Terengganu yang melibatkan seramai 40 orang pelajar dan empat (4) orang guru pengiring.

Program dimulakan dengan sesi taklimat yang dirasmikan oleh Puan Inazlina Binti Musa, Timbalan Pengarah Bahagian Operasi KPTM Bangi. Seterusnya, taklimat mengenai KPTM Bangi telah disampaikan oleh Encik Ahmad Fikri Bin Abdul Rahim, Pegawai Eksekutif Bahagian Pemasaran KPTM Bangi.

Sepanjang sesi tersebut, para pelajar diberikan pendedahan mengenai KPTM Bangi termasuk program-program pengajian yang ditawarkan, kemudahan pembelajaran serta peluang pendidikan yang boleh diterokai selepas menamatkan persekolahan.

Perkongsian ini bertujuan untuk membantu para pelajar mendapatkan gambaran yang lebih jelas mengenai laluan pendidikan ke peringkat pengajian tinggi, selain memberi pendedahan awal dalam merancang akademik dan kerjaya pada masa hadapan.

Selepas sesi taklimat, para pelajar dan guru pengiring turut berpeluang menyertai lawatan sekitar kampus KPTM Bangi bagi melihat sendiri persekitaran, kemudahan serta suasana pembelajaran yang disediakan untuk para pelajar.

Kunjungan seumpama ini merupakan antara platform yang dapat mendekatkan pelajar sekolah dengan suasana kehidupan di institusi pengajian tinggi, sekali gus memberi inspirasi dan motivasi kepada mereka untuk meneruskan pengajian selepas tamat persekolahan.

KPTM Bangi merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada SMK Bukit Guntong atas kesudian berkunjung. Semoga segala perkongsian dan pengalaman sepanjang kunjungan ini memberi manfaat serta menjadi inspirasi kepada para pelajar dalam menentukan hala tuju pendidikan mereka pada masa hadapan.

 
Scroll to Top