KONTINJEN KPTM RAIH TUJUH PINGAT DI KEJOHANAN SUKIPT7

KUALA LUMPUR, 6 September 2026 – Kontinjen Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) menamatkan saingan Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT7) dengan pencapaian membanggakan apabila berjaya membawa pulang keseluruhan tujuh (7) pingat, terdiri daripada dua (2) pingat emas, empat (4) pingat perak dan satu (1) pingat gangsa.

Kejohanan yang berlangsung di Universiti Malaya (UM) bermula 28 Ogos hingga 6 September 2026 itu menghimpunkan atlet daripada pelbagai institusi pendidikan tinggi untuk bersaing dalam acara sukan yang dipertandingkan.

Sepanjang kejohanan, atlet-atlet KPTM telah mempamerkan semangat juang, disiplin dan komitmen yang tinggi dalam setiap acara yang disertai. Bermula daripada persiapan sebelum pertandingan, aksi di gelanggang dan padang sehinggalah ke acara penutup, setiap pengalaman menjadi sebahagian daripada perjalanan bermakna buat kontinjen KPTM.

Kejayaan meraih tujuh (7) pingat ini merupakan hasil usaha dan kesungguhan para atlet yang sentiasa memberikan persembahan terbaik, selain sokongan berterusan daripada jurulatih, pegawai pengiring, sekretariat serta semua pihak yang terlibat sepanjang kejohanan.

Penyertaan dalam SUKIPT7 bukan sahaja memberi peluang kepada atlet KPTM untuk menguji kemampuan dan bersaing di peringkat lebih tinggi, malah menjadi platform penting dalam membentuk semangat kesukanan, ketahanan diri, disiplin dan kerja berpasukan dalam kalangan pelajar.

KPTM merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada seluruh atlet, jurulatih, pegawai pengiring, sekretariat serta semua pihak yang telah memberikan komitmen dan sokongan kepada kontinjen sepanjang kejohanan berlangsung.

Kejayaan ini menjadi satu lagi pencapaian membanggakan buat KPTM dan diharapkan dapat menjadi inspirasi kepada seluruh warga KPTM untuk terus mencipta kecemerlangan, bukan sahaja dalam bidang akademik, malah dalam bidang sukan dan kokurikulum.

Syabas dan tahniah, Kontinjen KPTM! Anda kebanggaan KPTM.

 
Scroll to Top