PENGIKTIRAFAN MICPA PERKUKUH NILAI GRADUAN DIPLOMA PERAKAUNAN KPTM

BANGI, 9 September 2026 – Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) terus memperkukuh komitmen dalam menyediakan pendidikan berkualiti dan relevan dengan keperluan industri menerusi pengiktirafan Malaysian Institute of Certified Public Accountants (MICPA) terhadap Program Diploma in Accounting (AA101).

Pengiktirafan tersebut diraikan menerusi Majlis Kerjasama Strategik dan Pengiktirafan MICPA yang berlangsung di Dewan Besar, KPTM Bangi pada 9 September 2026.

Majlis berkenaan menjadi satu lagi pencapaian penting bagi KPTM dalam usaha memperkukuh kualiti akademik, khususnya dalam bidang perakaunan, di samping memastikan program yang ditawarkan sentiasa selari dengan keperluan serta standard badan profesional.

Turut berlangsung ialah pemeteraian kerjasama strategik antara Kolej Poly-Tech MARA Sdn. Bhd. (KPTMSB) dan MICPA, yang mencerminkan komitmen kedua-dua pihak dalam mempererat hubungan antara institusi pendidikan tinggi dan badan profesional.

Kerjasama strategik ini dijangka membuka lebih banyak ruang dan peluang kepada pelajar Diploma in Accounting KPTM untuk mendapat pendedahan terhadap bidang perakaunan profesional serta memahami dengan lebih dekat keperluan industri dan perkembangan kerjaya dalam bidang tersebut.

Pengiktirafan MICPA turut memberikan nilai tambah kepada graduan Program Diploma in Accounting (AA101), sekali gus menyokong usaha KPTM dalam melahirkan graduan yang berpengetahuan, kompeten dan mempunyai daya saing yang tinggi.

Selain meningkatkan kebolehpasaran graduan, kerjasama ini juga dapat menyokong laluan pelajar yang berhasrat melanjutkan pengajian serta membina kelayakan profesional dalam bidang perakaunan pada masa hadapan.

Pencapaian ini membuktikan komitmen berterusan KPTM dalam menjalinkan kerjasama strategik bersama badan profesional dan industri bagi memastikan pengalaman pembelajaran pelajar bukan sahaja berteraskan akademik, malah memenuhi kehendak sebenar dunia pekerjaan.

Tahniah kepada Program Diploma in Accounting KPTM atas pengiktirafan daripada MICPA. Semoga pencapaian ini menjadi pemangkin kepada lebih banyak kejayaan serta kerjasama strategik pada masa akan datang, sekali gus memperkukuh kedudukan KPTM sebagai institusi yang melahirkan graduan berkualiti dan berdaya saing.

 
Scroll to Top