PELAJAR BAHARU BAAF SERTAI SESI TAKLIMAT DAN ORIENTASI BERSAMA DUBLIN BUSINESS SCHOOL
BANGI, 7 September 2026 – Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) Bangi telah mengadakan Sesi Taklimat dan Orientasi Pelajar Baharu Bachelor of Arts (Honours) in Accounting and Finance (BAAF) bersama Dublin Business School (DBS) sebagai persediaan awal kepada pelajar sebelum memulakan perjalanan akademik mereka.
Sesi ini memberi peluang kepada pelajar baharu untuk mendapatkan penerangan menyeluruh mengenai program pengajian, struktur akademik serta peluang yang tersedia sepanjang mengikuti program BAAF.
Antara pengisian utama ialah sesi suai kenal bersama Pengarah Pengajian, Ketua Program dan Koordinator DBS Malaysia, sekali gus memberi peluang kepada pelajar mengenali barisan pengurusan serta individu yang akan membimbing dan menyokong perjalanan akademik mereka.
Pelajar turut diberikan penerangan berkaitan struktur akademik dan kurikulum, termasuk struktur pengajian, jumlah kredit, sistem pemarkahan serta peraturan akademik yang perlu dipatuhi sepanjang tempoh pengajian.
Selain aspek akademik, sesi tersebut turut mengetengahkan peluang dan pendedahan antarabangsa yang ditawarkan melalui kerjasama dengan Dublin Business School. Antaranya termasuk pendedahan berkaitan akreditasi badan profesional seperti Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) dan Chartered Institute of Management Accountants (CIMA), program lawatan pensyarah dari Ireland serta peluang lawatan pelajar ke Dublin.
Penganjuran sesi taklimat dan orientasi ini diharapkan dapat membantu pelajar memahami perjalanan pengajian dengan lebih jelas, di samping mempersiapkan diri untuk memanfaatkan setiap peluang akademik, profesional dan antarabangsa yang ditawarkan sepanjang mengikuti program BAAF.
KPTM Bangi mengucapkan selamat datang dan selamat maju jaya kepada semua pelajar baharu BAAF. Semoga perjalanan di alam kampus menjadi titik permulaan kepada pencapaian akademik dan kerjaya yang cemerlang pada masa hadapan.